Selasa, 21 Jun 2011

Khas buatmu Ayah..


Khas buatmu Ayah..

25 tahun dulu, aku telah dilahirkan ke dunia ini. Lahirnya aku sebagai permata pertama buat seorang ayah dan seorang ibu. Tanpa mengenal erti dunia, aku diasuh dan dididik oleh mereka. Kini, 19.6 adalah hari Ayah buat semua yang bergelar ayah, bapa, walid, daddy, papa, dan abi. Semua ni gelaran bagi mereka yang bergelar ketua keluarga dalam sesebuah keluarga. Terdetik untuk aku untuk menulis secebis tinta untuk mereka yang bergelar ayah.

Ayah, jasamu tidak akan dapat aku balas hatta seisi dunia yang aku berikan. Kaulah segalanya bagi kami bergelar seorang anak. Setiap titik peluhmu dalam mencari rezeki begitu bermakna buat kami. Bagi aku sebagai seorang anak, tidak ada yang dapat aku balas jasamau melainkan hanya doa yang aku titipkan setiap kali solat. Aku bangga menjadi anakmu wahai ayah. Lahirnya aku ke dunia ini di sambut dengan penuh rasa kasih sayang. Tapi alangkah sedihnya bagi segelintir orang yang lahirnya sudah tidak punyai ayah. Sebagai contoh yang terdekat dengan kita, Nabi Muhammad S.A.W yang lahirnya Baginda tidak punyai ayah. Abdullah wafat ketika Baginda masih di dalam kandungan lagi. Cuma bezanya dengan kita, Baginda di lahirkan sebagai Kekasih Allah dan lahirnya ke dunia terus di uji dengan tiada seorang ayah. Tapi Baginda seorang yang kuat dan tabah dalam kehidupan.

Ayah, kasih sayang yang kau berikan kepadaku hingga kini aku rasakan. Aku ingat lagi ketika buku bercerita, masa aku berumur 2 tahun ayah banyak belikan aku barang permainan dan suka sangat bila dibelikan barang permainan. Kalau tak dibeli, sudah semestinya aku akan memberontak. Sangat sayangnya ayah kepadaku. Dan kata mak lagi, masa aku kecil dulu, aku suka sangat ikut mereka pergi ke mana sahaja.

Ayah, aku sangat bersyukur kerana masih lagi dikurniakan seorang ayah. Ayah banyak membantuku dalam banyak perkara. Hatta aku dah besar ini pun, banyak benda aku mintak tolong kepadanya. Dia tidak pernah berkata tidak kalau aku inginkan bantuan. Aku bangga punyai seorang ayah yang sangat penyayang. Ayah, terima kasih aku ucapkan. Kini, aku ingin berbakti kepadamu. Akan aku buktikan segala yang ayah berikan selama ini tidak sia-sia.

Ayah, hanya doa dariku sahaja mendekat hati kita. Sekalipun kita selalu berjauhan, tapi dalam solatku, aku tidak pernah lupakan doa kepada ayah dan emak. Dah menjadi doa wajib disetiap sujud terakhir dalam solat untuk ayah dan ibu. Ayah, aku ingin memohon maaf andai selama ini pernah menyakiti hatimu dan pernah menyusahkan ayah. Tidak terniat untuk aku berbuat demikian, mungkin aku ini juga manusia yang idak pernah lari dari melakukan kesilapan.

Ayah, aku sebagai seorang anak yakin, ayah yang berkualiti akan melahirkan anak yang berkualiti dan keluarga yang berkualiti. Seterusnya melahirkan masyarakat yang berkualiti. Sekalipun, kehidupan kita tidaklah semewah orang lain, tapi aku bersyukur hidup dalam keluarga yang sederhana. Ayah banyak mendidiku aku dalam bab mengaji. Nak dijadikan cerita, suatu masa dulu aku dan ayah pernah sama-sama menjadi juara dalam pertandingan tilawah al-Quran peringkat kampung. Ini adalah salah satu kenangan kami bersama. Dan ada banyak lagi kenangan yang aku dan ayah rakamkan.

Selain dari itu, aku masa kecil lagi dah di bawak mengail ikan. Kami sama-sama memancing ikan di sungai. Masa tu, aku sekolah rendah lagi.

Masuk saja darjah 4, aku bersama ayah buka gerai burger ditepi jalan. Alhamdulillah, gerai burger kami mendapat sambutan ramai. Ayah dah didik aku kecil-kecil lagi berdikari. Pernah sekali tu, kami berniaga pada malam hari raya puasa. Demi mencari rezeki, malam raya pun kami jual burger. Antara kenangan lain yang kami bina bersama adalah, masa aku sekolah menengah dulu, setiap hujung minggu ayah akan hantar burger ke sekolah. Dan akulah yang akan tolong jualkan kepada kawan-kawan. Dulu masa sekolah, aku femes dengan gelaran sepul burger. Agak kelakar bila diingatkan balik. Banyak lagi kenangan aku bersama ayah. Ayah adakalnya seorang yang tegas dan adakalanya seorang yang kelakar. Ayah suka mengusik emak, dahlah emak ada sakit asma. Sampai semput mak dibuatnya.

Ayah, sekali lagi aku berterima kasih atas perhatian dari ayah selama ini. Ingin aku ucapkan Selamat Hari Ayah dan semoga ayah diberi kesihatan yang berpanjangan. Dan aku doakan semoga ayah dan emak diberi jodoh sampai ke syurga. Aku sebagai seorang anak, halalkan makan dan minumku. Ampunkanlah dosaku selama ini andai pernah melakukan dosa kepadamu.

Ya Allah yang Maha Pengampun,

Kau ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku,

Sayangi mereka seperti mana mereka mengasihiku sejak dari kecil,

Berikanlah mereka kebahagian dunia dan akhirat,

Permurahkan rezeki mereka,

Berikanlah mereka kesihatan yang berpanjangan,

Dan umur yang panjang,

Tempatkan mereka ini di dalam syurgamu ya Allah,

Lindungilah mereka dari segala balaMU.

akhir sekali, ingin aku ucapkan sekali lagi Selamat Hari Ayah. Terima kasih Ayah…

Minggu ke-5 praktikum

Minggu ke-5 praktikum, kini tibalah masanya berlangsung proses pengajaran di dalam kelas. Saat ini memang aku tunggukan kerana ingin mengetahui sendiri pengalaman mengajar di dalam kelas. Selama ini aku dan kawan-kawan hanya ada sedikit teori dan praktikal hanya di buat di dalam kelas pengajian di Universiti.

Hampir seminggu berlalu, aku hanya masuk kelas pada hari Selasa, Khamis dan Jumaat. Pada hari Selasa yang lepas, aku masuk 2 kelas. Kelas pertengahan dan kelas hujung sekali. Malangnya, 2 kelas ini proses PNP tidak dapat aku laksanakan lagi sebab masih lagi membincangkan kertas peperiksaan yang baru sahaja di berikan kepada mereka.

Seterusnya pada hari Khamis, pengajaran pertamaku dalam bahasa arab. aku cukup bersemangat dan bersedia untuk mengajar untuk kali yang pertama ini. Aku mengaharapkan proses pengajaran akan berlaku ketika ini. Alhamdulillah, aku mendapat respon yang posititif dari anak muridku. Pada mulanya aku bertutur dalam bahasa arab dan perkenalkan diri dalam bahasa arab. melihat pada wajah anak muridku, semua terdiam. Terdiam menandakan mereka tidak memahami apa yang aku tuturkan.

Baru aku mengerti, mereka nak aku bercakap dalam bahasa Melayu dan Alhamdulillah mereka seronok bila aku terjemahkan apa yang aku cakapkan tadi. Pengajaran 1 jam 30 minit tidak terasa berlalu, rasa sekejap sahaja masa itu berlalu. Sebelum menamatkan kelas, seorang anak muridku bertanya, “ustaz, nanti dah habis belajar ustaz teruslah mengajar kami. Ustaz ajar bestla”. Alhamdulillah, pengajaran aku untuk kali pertama mendapat respon yang baik dari muridku.

Kelas aku seterusnya ialah di sebelah petang. Hari ini aku nak ajar tajuk Sedekah. Set induksi yang aku gunakan adalah dengan cara senyum. Aku minta anak muridku senyum sesama mereka dan mereka tertanya-tanya kenapa aku minta mereka senyum sesama mereka. Alhamdulillah, pengajaran hari ni dapat dijalankan dengan baik.

Ahad, 19 Jun 2011

Pendakian di Broga Hill Bersama Warga SMART

Broga Hill, akhirnya telah ku tawan juga. Bersama 39 orang guru SMK Taman Keramat dan 39 pelajar, kami bersama-sama mendaki bukit Broga pada hari Sabtu yg lepas. Sebelum mendaki, kami semua berkumpul di sekolah dan bermalam di sana. Pada jam 9.30 malam, majlis dimulakan dengan bacaan Yasin yang diketuai oleh ustaz Hazmi. Bacaan Yasin ini bertujuan untuk memohon perlindungan dari sesuatu yang tidak baik berlaku semasa mendaki nanti. Selesai majlis bacaan yasin, majlis diteruskan dengan taklimat oleh Sir khairul yang mana beliau mengingatkan kepada semua pelajar agar lebih mengutamakan keselamatan diri dan kawan-kawan. Seterusnya di sambung oleh guru Asma yang mana beliau berpengalaman luas dalam aktiviti mendaki. Beliau lebih banyak berkongsi pengalaman beliau semasa mendaki beberapa gunung di Malaysia. Antara pengalaman yang beliau ceritakan adalah pernah mendaki selama 7 hari untuk menawan puncak gunung. Dan beliau mengajak kami untuk bersama-sama beliau selepas ini kerana ada lagi aktiviti mendaki gunung yang akan disertai beliau.

Tepat jam 11 malam, kami disediakan makan malam. Dan selepas itu, semua pelajar dikehendaki untuk tido kerasa esok paginya kami akan bergerak ke Broga Hill jam 4.30 pagi. Suasana pagi yang cukup baik ini, melancarkan perjalanan kami ke sana. Kami berhenti rehat dan menunaikan solat subuh secara berjemaah di surau stesen minyak yang berhampiran. Alhamdulillah tepat jam 6.30 pagi kami sampai di Broga Hill. Sebelum mendaki, aku diminta oleh pihak sekolah untuk membacakan doa.


Perjalanan kami terus bermula, aku dapati telah ramai yang datang lebih awal untuk mendaki. Cabaran mendaki tidaklah begitu sukar, mungkin kurangnya stamina menyebabkan aku terasa sedikit kepenatan. Lebih kurang jam 7.15 pagi, aku dan beberapa pelajar lain sampai ke puncak yang pertama. Kami berehat sebentar di sini sambil menikmati alam yang cukup indah. Pemandangan sawah padi, pokok kelapa sawit dan sebagainya. Subhanallah, cantiknya ciptaan tuhan. Dia yang Maha Kaya lagi Maha Pemurah.

Setibanya di puncak yang pertama, kami masing-masing mengambil kedudukan untuk ambil gambar. Aku dan beberapa yang lain mengambil masa sekejap untuk berehat . Selepas itu, aku meneruskan pendakian ke puncak yang kedua. Dalam masa 10 minit, kami dah sampai ke sana. Apa lagi, seperti biasa kami akan mengambil gambar masing-masing. Pemandangan yang cukup indah terbentang luas di depan mataku. Sungguh cantik dan indah ciptaan Allah ini. Kataku di dalam hati.

Untuk menuju kepuncak tertinggi, jalan yang dilalui sedikit sukar. Aku dan yang lain mengambil keputusan untuk naik juga ke atas. Dah alang-alang kami ke sana, apa salahnya untuk terus ke puncak tertinggi. Alhamdulillah aku dan yang lain sampai juga. Seperti biasa, peluang ini kami ambil untuk berehat sebentar dan mengambil gambar. Di sana, kami membentang satu banner yang di siap khas untuk pendakian SMK Taman Keramat.

Setelah hampir 30 minit berada di puncak, kami pun turun. Perjalanan turun lebih mencabar sedikit. Dengan permukaan tanah yang licin menyebabkan ada yang tergelincir dan menggelongsor turun ke bawah. Alhamdulillah, setelah hampir 1 jam, perjalanan turun dari bukit Broga selamat semuanya. Semua menunjukkan wajah-wajah kegembiraan setelah dapat mendaki bukit hingga ke puncak.

Kami terus bergerak ke SMK Dusun Nanding untuk lawatan muhibbah. Setibanya kami di sana, kami di sambut dengan penuh kemesraan oleh pihak sekolah. Kami terus berkumpul di kantin sekolah untuk sesi taklimat dari pihak sekolah. Kami dimaklumkan oleh penolong kanan 1 sekolah dengan beberapa kejayaan-kejayaan yang sekolah perolehi selama 9 tahun sekolah itu di tubuhkan. Antaranya mendapat tempat ke-3 terbaik kokurikulum peringkat kebangsaan, johan peringkat negeri Selangor untuk sambutan Maulidurrasul peringkat negeri dan sebagainya.

Selepas selesai sesi taklimat, kami dijemput untuk makan tengahari. Kami disajikan dengan nasi ayam dan air bandung. Selepas itu, kami diajak untuk lawan futsal dengan pihak sekolah. Walaupun keadaan kami agak kepenatan, tapi atas semangat muhibbah yang ada kami meneruskan aktiviti pada hari itu dengan perlawanan persahabatan futsal dan bola jarring. Aku turut serta dalam perlawanan tersebut. Pada mulanya, perlawanan agak sengit, kami menjaringkan gol yang pertama dan disambut riang oleh warga SMART. Selepas itu, kami dibolosi sebanyak 4 kali oleh guru-guru Dusun Nanding. Sekalipun tewas, kami tetap berpuas hati, mungkin kerana terlalu penat kami tidak dapat menyaingi kehebatan mereka. Apa-apapun perlawanan seperti ini merapatkan lagi ukhwah sesama kami.


Seterusnya aku di ajak oleh guru sekolah untuk bermain sepak takraw. Kali ini, kami lawan pelajar sekolah. Akhirnya, kami dapat menewaskan mereka dengan perbezaan 2 mata sahaja. Selepas selesai semuanya, kami bergerak balik ke sekolah semula. Dalam perjalanan balik, aku mengambil masa yang ada untuk tido sekejap. Setibanya di sekolah, aku dan Hirman terus bergerak balik ke rumah sewa kami.

Alhamdulillah, program yang diaturkan memberi pengalaman yang manis untuk ditinggalkan. Sekolah ini memang aktif dengan program-program mereka. Banyak perkara yang aku boleh pelajari untuk aku jadikan contoh semasa aku menjadi guru nanti. Setakat ini sahaja perkongsian Qissahku.=)