Ahad, 19 Jun 2011

Pendakian di Broga Hill Bersama Warga SMART

Broga Hill, akhirnya telah ku tawan juga. Bersama 39 orang guru SMK Taman Keramat dan 39 pelajar, kami bersama-sama mendaki bukit Broga pada hari Sabtu yg lepas. Sebelum mendaki, kami semua berkumpul di sekolah dan bermalam di sana. Pada jam 9.30 malam, majlis dimulakan dengan bacaan Yasin yang diketuai oleh ustaz Hazmi. Bacaan Yasin ini bertujuan untuk memohon perlindungan dari sesuatu yang tidak baik berlaku semasa mendaki nanti. Selesai majlis bacaan yasin, majlis diteruskan dengan taklimat oleh Sir khairul yang mana beliau mengingatkan kepada semua pelajar agar lebih mengutamakan keselamatan diri dan kawan-kawan. Seterusnya di sambung oleh guru Asma yang mana beliau berpengalaman luas dalam aktiviti mendaki. Beliau lebih banyak berkongsi pengalaman beliau semasa mendaki beberapa gunung di Malaysia. Antara pengalaman yang beliau ceritakan adalah pernah mendaki selama 7 hari untuk menawan puncak gunung. Dan beliau mengajak kami untuk bersama-sama beliau selepas ini kerana ada lagi aktiviti mendaki gunung yang akan disertai beliau.

Tepat jam 11 malam, kami disediakan makan malam. Dan selepas itu, semua pelajar dikehendaki untuk tido kerasa esok paginya kami akan bergerak ke Broga Hill jam 4.30 pagi. Suasana pagi yang cukup baik ini, melancarkan perjalanan kami ke sana. Kami berhenti rehat dan menunaikan solat subuh secara berjemaah di surau stesen minyak yang berhampiran. Alhamdulillah tepat jam 6.30 pagi kami sampai di Broga Hill. Sebelum mendaki, aku diminta oleh pihak sekolah untuk membacakan doa.


Perjalanan kami terus bermula, aku dapati telah ramai yang datang lebih awal untuk mendaki. Cabaran mendaki tidaklah begitu sukar, mungkin kurangnya stamina menyebabkan aku terasa sedikit kepenatan. Lebih kurang jam 7.15 pagi, aku dan beberapa pelajar lain sampai ke puncak yang pertama. Kami berehat sebentar di sini sambil menikmati alam yang cukup indah. Pemandangan sawah padi, pokok kelapa sawit dan sebagainya. Subhanallah, cantiknya ciptaan tuhan. Dia yang Maha Kaya lagi Maha Pemurah.

Setibanya di puncak yang pertama, kami masing-masing mengambil kedudukan untuk ambil gambar. Aku dan beberapa yang lain mengambil masa sekejap untuk berehat . Selepas itu, aku meneruskan pendakian ke puncak yang kedua. Dalam masa 10 minit, kami dah sampai ke sana. Apa lagi, seperti biasa kami akan mengambil gambar masing-masing. Pemandangan yang cukup indah terbentang luas di depan mataku. Sungguh cantik dan indah ciptaan Allah ini. Kataku di dalam hati.

Untuk menuju kepuncak tertinggi, jalan yang dilalui sedikit sukar. Aku dan yang lain mengambil keputusan untuk naik juga ke atas. Dah alang-alang kami ke sana, apa salahnya untuk terus ke puncak tertinggi. Alhamdulillah aku dan yang lain sampai juga. Seperti biasa, peluang ini kami ambil untuk berehat sebentar dan mengambil gambar. Di sana, kami membentang satu banner yang di siap khas untuk pendakian SMK Taman Keramat.

Setelah hampir 30 minit berada di puncak, kami pun turun. Perjalanan turun lebih mencabar sedikit. Dengan permukaan tanah yang licin menyebabkan ada yang tergelincir dan menggelongsor turun ke bawah. Alhamdulillah, setelah hampir 1 jam, perjalanan turun dari bukit Broga selamat semuanya. Semua menunjukkan wajah-wajah kegembiraan setelah dapat mendaki bukit hingga ke puncak.

Kami terus bergerak ke SMK Dusun Nanding untuk lawatan muhibbah. Setibanya kami di sana, kami di sambut dengan penuh kemesraan oleh pihak sekolah. Kami terus berkumpul di kantin sekolah untuk sesi taklimat dari pihak sekolah. Kami dimaklumkan oleh penolong kanan 1 sekolah dengan beberapa kejayaan-kejayaan yang sekolah perolehi selama 9 tahun sekolah itu di tubuhkan. Antaranya mendapat tempat ke-3 terbaik kokurikulum peringkat kebangsaan, johan peringkat negeri Selangor untuk sambutan Maulidurrasul peringkat negeri dan sebagainya.

Selepas selesai sesi taklimat, kami dijemput untuk makan tengahari. Kami disajikan dengan nasi ayam dan air bandung. Selepas itu, kami diajak untuk lawan futsal dengan pihak sekolah. Walaupun keadaan kami agak kepenatan, tapi atas semangat muhibbah yang ada kami meneruskan aktiviti pada hari itu dengan perlawanan persahabatan futsal dan bola jarring. Aku turut serta dalam perlawanan tersebut. Pada mulanya, perlawanan agak sengit, kami menjaringkan gol yang pertama dan disambut riang oleh warga SMART. Selepas itu, kami dibolosi sebanyak 4 kali oleh guru-guru Dusun Nanding. Sekalipun tewas, kami tetap berpuas hati, mungkin kerana terlalu penat kami tidak dapat menyaingi kehebatan mereka. Apa-apapun perlawanan seperti ini merapatkan lagi ukhwah sesama kami.


Seterusnya aku di ajak oleh guru sekolah untuk bermain sepak takraw. Kali ini, kami lawan pelajar sekolah. Akhirnya, kami dapat menewaskan mereka dengan perbezaan 2 mata sahaja. Selepas selesai semuanya, kami bergerak balik ke sekolah semula. Dalam perjalanan balik, aku mengambil masa yang ada untuk tido sekejap. Setibanya di sekolah, aku dan Hirman terus bergerak balik ke rumah sewa kami.

Alhamdulillah, program yang diaturkan memberi pengalaman yang manis untuk ditinggalkan. Sekolah ini memang aktif dengan program-program mereka. Banyak perkara yang aku boleh pelajari untuk aku jadikan contoh semasa aku menjadi guru nanti. Setakat ini sahaja perkongsian Qissahku.=)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan