Khamis, 22 Oktober 2009

Media Bukan Punca Gejala Sosial

Kajian UPM dedahkan faktor keluarga, pengaruh rakan penyumbang utama


KUALA LUMPUR: Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati masalah sosial yang dihadapi masyarakat ketika ini bukan berpunca daripada pengaruh media massa sebaliknya faktor keluarga, pengaruh rakan sebaya dan hiburan luar.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata pendedahan itu dibuat selepas satu kajian berhubung pengaruh media massa dan kesan terhadap nilai keagamaan dibuat oleh Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, diketuai oleh Dr Hamisah Hassan.

Beliau berkata, persepsi masyarakat yang memandang negatif berhubung paparan hiburan di media massa sehingga mampu merosakkan akhlak remaja membuatkan Yadim mengambil inisiatif menyuruh pihak UPM membuat kajian bagi melihat kesahihan seperti didakwa masyarakat.

"Sebelum ini, banyak pihak termasuk ulama berpendapat masalah sosial berlaku berpunca daripada pendedahan media massa yang banyak memaparkan isu negatif sehingga menjadi ikutan remaja.

"Golongan ulama sebenarnya tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung kenyataan yang dibuat sebaliknya hanya mendengar percakapan daripada masyarakat tanpa bukti sahih," katanya kepada Berita Harian.

Nakhaie berkata, hasil kajian yang dibuat selama setahun mendapati, kandungan media massa termasuk hiburan yang disiarkan tidak memberi impak negatif di kalangan remaja sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial.

"Kita sepatutnya menghargai jasa media yang banyak memberi pengetahuan serta hiburan kepada kita. Dengan adanya hiburan yang disiarkan media, kita sebagai masyarakat dapat menenangkan fikiran apabila seharian terdedah dengan tekanan kerja,' katanya.

Beliau berkata, walaupun program jenis keagamaan yang disiarkan media kurang mendapat sambutan di kalangan remaja, namun ia perlu dikaji dalam pelbagai aspek sehingga kurang mendapat sambutan antaranya masa yang tidak sesuai.

"Bukan bererti rancangan agama dipinggirkan oleh remaja sebaliknya kebanyakan rancangan berbentuk keagamaan dibuat pada lewat malam dan awal pagi berbanding siaran hiburan pada sebelah petang dan malam.

"Walaupun kebanyakan remaja tidak mempunyai asas agama yang tinggi, namun mereka mampu menilai baik buruk sesuatu rancangan disiarkan dan tidak menjadi ikutan mereka bagi menjalani kehidupan seharian," katanya.

Katanya, beliau turut menyarankan supaya kandungan hiburan media diperbaiki dan diolah secara kreatif supaya setiap rancangan hiburan yang disiarkan itu turut diselitkan unsur keagamaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan