Selasa, 21 Jun 2011

Khas buatmu Ayah..


Khas buatmu Ayah..

25 tahun dulu, aku telah dilahirkan ke dunia ini. Lahirnya aku sebagai permata pertama buat seorang ayah dan seorang ibu. Tanpa mengenal erti dunia, aku diasuh dan dididik oleh mereka. Kini, 19.6 adalah hari Ayah buat semua yang bergelar ayah, bapa, walid, daddy, papa, dan abi. Semua ni gelaran bagi mereka yang bergelar ketua keluarga dalam sesebuah keluarga. Terdetik untuk aku untuk menulis secebis tinta untuk mereka yang bergelar ayah.

Ayah, jasamu tidak akan dapat aku balas hatta seisi dunia yang aku berikan. Kaulah segalanya bagi kami bergelar seorang anak. Setiap titik peluhmu dalam mencari rezeki begitu bermakna buat kami. Bagi aku sebagai seorang anak, tidak ada yang dapat aku balas jasamau melainkan hanya doa yang aku titipkan setiap kali solat. Aku bangga menjadi anakmu wahai ayah. Lahirnya aku ke dunia ini di sambut dengan penuh rasa kasih sayang. Tapi alangkah sedihnya bagi segelintir orang yang lahirnya sudah tidak punyai ayah. Sebagai contoh yang terdekat dengan kita, Nabi Muhammad S.A.W yang lahirnya Baginda tidak punyai ayah. Abdullah wafat ketika Baginda masih di dalam kandungan lagi. Cuma bezanya dengan kita, Baginda di lahirkan sebagai Kekasih Allah dan lahirnya ke dunia terus di uji dengan tiada seorang ayah. Tapi Baginda seorang yang kuat dan tabah dalam kehidupan.

Ayah, kasih sayang yang kau berikan kepadaku hingga kini aku rasakan. Aku ingat lagi ketika buku bercerita, masa aku berumur 2 tahun ayah banyak belikan aku barang permainan dan suka sangat bila dibelikan barang permainan. Kalau tak dibeli, sudah semestinya aku akan memberontak. Sangat sayangnya ayah kepadaku. Dan kata mak lagi, masa aku kecil dulu, aku suka sangat ikut mereka pergi ke mana sahaja.

Ayah, aku sangat bersyukur kerana masih lagi dikurniakan seorang ayah. Ayah banyak membantuku dalam banyak perkara. Hatta aku dah besar ini pun, banyak benda aku mintak tolong kepadanya. Dia tidak pernah berkata tidak kalau aku inginkan bantuan. Aku bangga punyai seorang ayah yang sangat penyayang. Ayah, terima kasih aku ucapkan. Kini, aku ingin berbakti kepadamu. Akan aku buktikan segala yang ayah berikan selama ini tidak sia-sia.

Ayah, hanya doa dariku sahaja mendekat hati kita. Sekalipun kita selalu berjauhan, tapi dalam solatku, aku tidak pernah lupakan doa kepada ayah dan emak. Dah menjadi doa wajib disetiap sujud terakhir dalam solat untuk ayah dan ibu. Ayah, aku ingin memohon maaf andai selama ini pernah menyakiti hatimu dan pernah menyusahkan ayah. Tidak terniat untuk aku berbuat demikian, mungkin aku ini juga manusia yang idak pernah lari dari melakukan kesilapan.

Ayah, aku sebagai seorang anak yakin, ayah yang berkualiti akan melahirkan anak yang berkualiti dan keluarga yang berkualiti. Seterusnya melahirkan masyarakat yang berkualiti. Sekalipun, kehidupan kita tidaklah semewah orang lain, tapi aku bersyukur hidup dalam keluarga yang sederhana. Ayah banyak mendidiku aku dalam bab mengaji. Nak dijadikan cerita, suatu masa dulu aku dan ayah pernah sama-sama menjadi juara dalam pertandingan tilawah al-Quran peringkat kampung. Ini adalah salah satu kenangan kami bersama. Dan ada banyak lagi kenangan yang aku dan ayah rakamkan.

Selain dari itu, aku masa kecil lagi dah di bawak mengail ikan. Kami sama-sama memancing ikan di sungai. Masa tu, aku sekolah rendah lagi.

Masuk saja darjah 4, aku bersama ayah buka gerai burger ditepi jalan. Alhamdulillah, gerai burger kami mendapat sambutan ramai. Ayah dah didik aku kecil-kecil lagi berdikari. Pernah sekali tu, kami berniaga pada malam hari raya puasa. Demi mencari rezeki, malam raya pun kami jual burger. Antara kenangan lain yang kami bina bersama adalah, masa aku sekolah menengah dulu, setiap hujung minggu ayah akan hantar burger ke sekolah. Dan akulah yang akan tolong jualkan kepada kawan-kawan. Dulu masa sekolah, aku femes dengan gelaran sepul burger. Agak kelakar bila diingatkan balik. Banyak lagi kenangan aku bersama ayah. Ayah adakalnya seorang yang tegas dan adakalanya seorang yang kelakar. Ayah suka mengusik emak, dahlah emak ada sakit asma. Sampai semput mak dibuatnya.

Ayah, sekali lagi aku berterima kasih atas perhatian dari ayah selama ini. Ingin aku ucapkan Selamat Hari Ayah dan semoga ayah diberi kesihatan yang berpanjangan. Dan aku doakan semoga ayah dan emak diberi jodoh sampai ke syurga. Aku sebagai seorang anak, halalkan makan dan minumku. Ampunkanlah dosaku selama ini andai pernah melakukan dosa kepadamu.

Ya Allah yang Maha Pengampun,

Kau ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku,

Sayangi mereka seperti mana mereka mengasihiku sejak dari kecil,

Berikanlah mereka kebahagian dunia dan akhirat,

Permurahkan rezeki mereka,

Berikanlah mereka kesihatan yang berpanjangan,

Dan umur yang panjang,

Tempatkan mereka ini di dalam syurgamu ya Allah,

Lindungilah mereka dari segala balaMU.

akhir sekali, ingin aku ucapkan sekali lagi Selamat Hari Ayah. Terima kasih Ayah…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan