Jumaat, 4 September 2009

5 SYARAT BUAT MAKSIAT

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata,

"Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima

lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba

Ishak?"









Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah,

jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya

berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki

Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih

mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar

larangan-Nya?"








"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata

kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya

dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"







"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga.

Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat

tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan

berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak

melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu m asih

berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan

meminta syarat yang keempat.







Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu,

katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan

melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera

tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi

permintaanku?"







"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh

menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana

engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"





"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai

Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api

neraka di hari kiamat
nanti, jangan engkau ikut bersamanya."







Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan