Isnin, 6 Jun 2011

PERATURAN PESERTA KURSUS PENGURUSAN DAKWAH DI ILIM


PERATURAN PESERTA KURSUS PENGURUSAN DAKWAH DI ILIM

1. DISIPLIN

A. Peserta dikehendaki mematuhi waktu pendaftaran kursus

B. Peserta di wajibkan menghadiri kuliah mengikut jadual kecuali atas sebab yang tidak dapat dielakkan setelah mendapat keizinan daripada PENYELARAS KURSUS

C. Peserta dikehendaki berada di bilik kuliah 5 minit lebih awal

2. SIKAP

A. Berakhlak mulia sepanjang menghadiri kursus

B. Memberi tumpuan pada setiap sesi kuliah

3. PAKAIAN

A. Sentiasa berpakaian rasmi pejabat ketika menghadiri setiap sesi kuliah (menutup aurat dan sopan)

4. MAKAN/MINUM

A. Peserta dikehendaki makan/minum secara berjemaah mengikut jadual

B. Setiap kali makan/minum dumulakan dengan bacaan doa

C. Peserta dikehendaki menjaga kebersihan tempat makan/minum

5. KEBERSIHAN

A. Pastikan barang persendirian seperti pakaian, kasut dan sebagainya diletakkan di tempat yang bersesuaian

B. Pastikan kebersihan bilik kuliah dan surau

6. KESELAMATAN/KECEMASAN

A. Hubungi urusetia yang bertugas sekiranya terdapat peserta yang sakit

7. PENGGUNAAN API/AIR/KIPAS/HAWA DINGIN

A. Dilarang menyalahgunakan punca elektrik tanpa kebenaran

B. Matikan suis lampu, kipas, hawa dingin sebelum meninggalkan bilik kuliah

Rebutlah Kasih Sayang Allah

Si ibu sangat arif bahawasanya kasih sayang sangat-sangat diperlukan oleh naluri dan tujuannya berpesan kepada anak gadisnya agar kasih dari suami akan turun kepada anaknya. Dengan kasih sayanglah si isteri bersemangat untuk menghadapi apa jua beban rumahtangga yang berat-berat. Dia merebut kasih sayang dari suaminya dengan satu modal saja iaitu berbuat sesuatu yang disukai oleh suaminya dan menjauhkan sesuatu yang tidak disukai oleh suaminya.

Begitu juga dengan kehidupan seorang pelajar. Pelajar akan merasa puas dengan apa yang dipelajarinya jikalau menerima kasih sayang dari gurunya. Dan untuk mendapatkan kasih sayang guru seseorang pelajar harus mempelajari adab dan tatasusila berhadapan dengan guru.

Begitu juga apabila kita berhadapan dengan hidup dan keluarga. Seseorang itu akan merasa puas sekiranya ibu dan ayahnya memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka. Tanyalah diri kita sendiri, mengapa terlalu ramai manusia merebut kasih sayang daripada gurunya, mengapa terlalu ramai manusia merebut kasih sayang daripada ibu dan ayahnya, mengapa manusia terlalu ramai merebut kasih sayang daripada pemimpinnya, mengapa manusia terlalu ramai merebut kasih sayang daripada kekasihnya, mengapa manusia terlalu ramai merebut kasih sayang dari manusia yang lain.

Mengapa tidak ramai manusia yang mahu merebut kasih sayang Tuhan sedangkan kasih sayang Tuhan itu lebih murni daripada kasih sayang yang diberikan oleh manusia. Kasih sayang Tuhan kekal abadi, kasih sayang makhluk hanya sementara. Mengapa terlalu sedikit manusia berbuat atau beramal kerana merebut kasih sayang daripada Tuhan. Lihatlah betapa gigihnya seseorang itu sanggup bekerja untuk mendapatkan kasih sayang daripada pemimpinnya. Begitu juga lihatlah betapa gigihnya seorang kekasih yang sanggup mengorbankan apa sahaja demi kekasihnya. Sedangkan dengan Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam, yang menjadikan kita, yang memberikan kita rezeki, kepandaian dan yang akan mematikan kita, kita buat tidak nampak sahaja. Ibadah kita cuai. Mungkin di antara kita ada yang tidak pernah bersembahyang dan pergi ke masjid. Sepatutnya kita bekerja lebih gigih untuk mendapatkan kasih sayang daripada Allah. Apabila kasih sayang Allah mencurah-curah, kita akan lebih bersemangat untuk belajar dan menghadapi segala rintangan kehidupan.

Kalau kasih sayang daripada guru kita sahaja menyebabkan kita bersemangat untuk belajar, maka jika kasih sayang daripada Allah s.w.t, lebih-lebih lagilah kita akan mendapat kekuatan dan kelapangan fikiran di dalam memahami setiap pelajaran yang akan diajarkan. Oleh itu hendaklah kita sentiasa mengkoreksi diri kita, adakah telah selesai ibadah kita dengan Allah s.w.t daripada segi solatnya, dari segi penutupan auratnya atau dari segi adab dan tatasusila dengan guru, ibubapa, kawan-kawan dan manusia yang lain yang Allah perintahkan kepada kita untuk kita sempurnakan.

Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w : "Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak memberikan menfaat kepada manusia yang lain".

Dan Allah s.w.t Taala berfirman di dalam Al Quran di dalam surah Al Baqarah, ayat 165 : "Dan mereka yang beriman itu, sangat kasih kepada Allah s.w.t."

Rebutlah kasih sayang dari Allah, nescaya manusia akan mengasihi kita. Dan ingatlah, kasih kita kepada manusia hanya sementara, sedangkan kasih kita kepada Allah s.w.t itu kekal abadi dan membawa kebahagian di dunia dan selepas mati.

Sabtu, 4 Jun 2011

Kematian dan Persediaan

Kematian dan Persediaan

Entah apa yang terawang-awang dalam fikiran saya ketika itu. Bermacam-macam menerjah ke kepala. Bersimpang-siur, sama seperti keadaan jalan yang bengkang-bengkok itu. Punggung sudah mula rasa tidak sedap duduk.

Berfikir tentang masalah dengan kawan yang belum selesai. Entah mengapa dia menjauhkan diri sejak beberapa hari lalu. Berfikir tentang hutang yang belum dilangsaikan. Andai saya mati dalam perjalanan ini, siapa yang tahu tentang hutang-hutang tersebut dan membayarnya?

Tiba di satu selekoh, saya menekan brek sedikit dan menggerakkan handle motor sedikit ke kanan. Tetapi tiba-tiba motor saya seperti tidak dapat dikawal. Tergelincir keluar daripada laluan jalan. Dan mula masuk jalan tanah merah yang berbecak.

Lantas motor terjatuh dan saya tercampak hampir ke tepi jalan. Saya memandang kawan saya yang tidak sedar saya terjatuh di belakang dan terus memecut laju. Sebuah kereta bergerak laju melintas hampir satu meter di hadapan kepala saya.

Sakit tidak terkata. Saya menggagahkan diri bangun lalu mengangkat motor yang terjatuh dalam becak. Wap-wap panas berterbaran. Tempat pijak brek kaki sudah bengkok ke belakang, cermin tepi motor patah.

Saya sangkakan motor sudah tidak dapat berfungsi, selepas beberapa kali mencuba akhirnya berjaya juga dihidupkan. Dalam keadaan seperti tidak sedarkan diri, saya terus mengejar kawan saya. Dan saya bertemu dengannya yang berhenti di satu selekoh. Pelik mungkin dengan kehilangan saya.

Selepas menghantar motor ke bengkel untuk dibaiki dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ijok, Alhamdulillah perjalanan kami seterusnya selepas itu lancar.

Malam itu, saya berbaring-baring di ruang tamu dan fikiran mula menerawang. Andai kata saya terjatuh di tengah jalan siang tadi, mungkin sudah dilanggar kereta. Dan mati.

Tujuan hidup

"Setiap orang memiliki tujuan, dan tujuan setiap orang yang hidup adalah kematian."

Kematian adalah akhir daripada kegembiraan dan kesedihan, kekayaan dan kemiskinan, kejayaan dalam hidup dan kegagalan mendapatkan sesuatu, dan apa jua yang kita lakukan. Kehidupan kita di dunia jelas ada hadnya, ada akhirnya. Jadi, setiap apa yang kita lakukan mestilah sebagai persediaan untuk kita menghadapi kematian.

Tetapi ayat di atas bukanlah menjadi penghalang untuk kita mengecapi kejayaan. Para sahabat Nabi Muhammad juga adalah orang yang kaya pada zaman mereka. Cuma dalam setiap apa yang kita ingin lakukan dan kecapi, biarlah ia dilakukan dengan harapan ia dapat memberikan persediaan terbaik untuk kita sebelum kita mati.

Bersiaplah untuk mati

Dulu semasa kecil, selalu ustazah menasihatkan buatlah ibadah seolah-olah esok kita akan mati. Tetapi sampai sekarang saya masih tidak dapat melakukannya. Dalam hati masih ada perasaan takut akan mati.

Islam mengajar kita berani menghadapi kematian dan hari kiamat. Islam mengajar supaya kita bersedia menghadapi kedua-duanya. Walaupun ingin jadi kaya, ingin jadi jutawan, ingin jadi doktor, ingin jadi pilot atau apa-apa jua keinginan, bersiap sedialah untuk kematian.

Sesungguhnya kematian ini adalah pasti. Kita cuma hidup entah berapa lama lagi. Entah esok entahkan malam ini sahaja kita akan mati. Kita merancang pelbagai perkara yang entahkan sempat entahkan tidak untuk kita melakukannya.

Jadi, tujuan hidup kita mesti jelas iaitu hidup untuk mati. Maka bersiaplah dengan segala macam persiapan dan persedian yang baik-baik untuk memastikan tujuan hidup itu betul-betul tercapai.

Sudah seminggu lebih peristiwa ini berlaku iaitu dua hari sebelum raya yang lepas tetapi saya masih tidak dapat berjalan seperti biasa lagi. Cuma mampu berpura-pura sihat dan melompat tidak tinggi.

Dipetik dari www.iluvislam.com
oleh: *Azree Hanifiah


*Azree Hanifiah merupakan pemilik blog StudioMuslim.

Khamis, 2 Jun 2011

Cerai Berleluasa

Cerai Berleluasa : Perlukan

Kementerian Pembangunan Lelaki?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

divorce2

Pendedahan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha berdasarkan kajian yang dibuat pada tahun 2008, tempoh selama sepuluh tahun perkahwinan amat kritikal sekali kerana potensi penceraian adalah besar.

Dalam kajian pada tahun 2007, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian. Bagi tempoh enam hingga sepuluh tahun pula mendapati 27.7 peratus bercerai. Ini bererti tempoh sepuluh tahun pertama merupakan tahun yang paling kritikan kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan penceraian.

Daripada sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun berkenaan.

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN LELAKI

Kita sudah biasa dengan kewujudan kementerian pembangunan wanita di Negara kita Malaysia. Secara spontan kita dapat fahami peranan kementerian terbabit adalah untuk menjaga kebajikan kaum wanita dari serba serbinya agar tidak teraniaya, tertindas, ketinggalan dan seumpamanya. Namun melihat kepada keadaan semasa di Malaysia, mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan sebuah badan khas untuk membantu kaum lelaki yang kelihatan sudah semakin pudar keupayaan mereka.

Allah swt menciptakan isi dunia ini berpasangan agar mereka saling boleh bekerjasama memakmurkan dunia sesuai dengan fitrah mereka, fitrah yang pastinnya membawa kepada ketenangan, keharmonian dan dinamisme. Namun, dengan jumlah wanita yang lebih ramai memenuhi institut pengajian tinggi dan setersunay semakin banyak menguasai jawatan-jawatan di medan pekerjaan. Pendidikan di dalam rumah tangga semakin terhakis, salah satu puncanya adalah apabila wanita semakin ramai diperlukan untuk keluar beekrja seeangkan lelaki pula gagal menampung keperluan membantu dalam pendidikan anak-anak.

Dalam kata mudahnya, dunia pekerjaan kini memerlukan bantuan wanita untuk terus bergerak. Namun dunia rumahtangga memerlukan bantuan lelaki untuk terus harmoni. Apabila wanita kelihatan berjaya menampung keperluan dunia pekerjaan, tentunya kemampuannya mengurus isi rumahtangga menyusut, ketika itulah peranan lelaki diperlukan, tapi sedikit malang apabila lelaki terus terkebelakang. Di dunia kerjaya mereka menyusut, di dalam rumahtangga mereka sering gagal menampung ruang kosong yang ditinggalkan isteri bekerja. Hasilnya pergolakan pasti berlaku, rumahtangga berantakan, anak pasti terkena impak negatif dan seterusnya mendasar di dalam jiwa mereka sehingga dewasa. Lebih buruk jika impak tersebut merosak jiwanya dan menjadi anak tersebut sebagai pembuli di sekolah, virus di universiti, sampah dalam masyarakat dan pencipta masalah dalam Negara.

Allah swt menyebut :

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Ertinya : Lelaki itu adalah ketua ke atas wanita disebabkan kerana kurniaan yang diberikan kepada mereka dan disebabkan nafqah yang mereka berikan.. ( Al-Nisa : 34)

Jelas dari ayat diatas, Allah melantik lelaki selaku ketua dan pemutus keputusan di dalam sesebuah rumahtangga berdasarkan dua sebab utama iaitu a) kelebihan fizikal mereka dan b) tanggungjawab mereka selaku pencari nafqah untuk keluarga.

Nescaya, kalau kedua-dua itu tidak disempurnakan dengan baik, pastinya masalah akan berputik satu demi satu, ketidakpuasan hati akan menjelma hari demi hari, kehidupan akan berubah kepada seribu satu macam jenis masalah, berakhir dengan penceraian dan anak-anak bermasalah.

Anak-anak ini akan membawa masalahnya ke sekolah dan universiti, sebagaimana ibu dan ayah mereka membawa masalah ke tempat kerja. Akhirnya aura negatif mereka berpindah dari seorang ke yang lain, lalu mempengaruhi sekelompok masyarakat dan seterusnya Negara. Ia adalah kesan domino yang berantai.

Kerana itu keharmonian keluarga amat penting dalam Islam, dan Nabi mengatakan krisis dalam keluarga adalah penghakis agama. Ia punca kepada masalah lebih besar dalam masyarakat.

Nabi memaklumkan keperluan segara mendamaikan dan menyelesaikan masalah dalam keluarga malah ia lebih besar ertinya dari sedeqah, puasa dan solat (sunat).

Nabi bersabda :-

ألا أخبركم بأفضل من درجة الصيام والصدقة والصلاة " أي درجة الصيام النافلة وصدقة نافلة والصلاة النافلة " ، فقال أبو الدرداء : قلنا بلى يا رسول الله ، قال : إصلاح ذات البين[1]

Ertinya : Wahai sahabatku, mahukah kamu aku khabarkan satu amalan yang lebih besar fadhilatnya berbanding puasa (sunat), sedeqah (sunat) dan solat (sunat), Maka Abu darda’ menjawab : ya Rasulullah. Nabi membalas “Itulah mendamaikan perbalahan dalam keluarga dan masyarakat” (Riwayat Al-Tirmidhi Abu Daud : Hadis bertaraf hasan dan sohih menurut Albani)

Dan Nabi menambah selepas itu, menyebut :-

وفساد ذات البين الحالقة

Ertinya : Keroasakan dalam hubungan rumahtangga, kaum kerabat dan organisasi masyarakat akan menghakis (ketaatan dalam agama) ( Riwayat Ahmad dan Tirmidhi : Hadis Hasan)

SEMAKIN MUDAH CERAI

Apabila wanita sudah berkerja dan berpendapatan sendiri, mereka tiada lagi punyai masalah untuk bercerai, hasilnya berdasarkan kajian Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin, trend perceraian bagi tempoh 1998-2002 menunjukkan, hampir 70 peratus kes perceraian di Kelantan, Johor dan Terengganu dipohon oleh wanita (isteri). Di beberapa negeri lain pula menyaksikan lebih 50 peratus wanita sebagai plaintif dalam kes perceraian. ( RUJUK )

Allah maha mengetahui wanita dan emosinya, ia satu perkara fitrah, justeru kuasa cerai diberikan kepada suami. Namun isteri masih mempunyai kuasa untuk memohon melalui mahkamah, apabila mereka benar-benar mempunyai kes dan sebab yang utuh di sisi syara’. Fakta yang diberikan di atas menyokongnya, ia juga sekaligus menunjukkan kegagalan kaum lelaki.

Tulisan ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, cuma mengajak kita berfikir sejenak kepada kelemahan lelaki dalam memainkan peranannya yang dianugerahkan oleh Allah, iaitu sebegai ketua keluarga. Ia merupakan satu tugas dan amanah yang datang dengan tanggungjawab dan peranan.

Tanggungjawab sebesar itu, memerlukan ilmu dan kredibiliti secukupnya untuk bertindak selaku pemutus keputusan di dalam ruamhtangga. Keputusan yang dibuat pula mestilah cukup rasional dan boleh diterima oleh ahli rumah khususnya isteri. Seperti sifat seorang hakim di dalam mahkamah, selain hakim, peguam bela dan peguam pendakwa juga pakar di dalam bidang undang-undang, namun ia perlukan seorang pemutus keputusan. Itulah sebaik-baik cara yang Allah ajarkan untuk manusia, mereka perlukan pemimpin yang tidak mudah terpengaruh dengan emosi, tetapi lebih tumpu kepada rasional dalam membuat keputusan. Berdasarkan ayat surah al-Nisa tadi, Allah melantik lelaki dan Allah maha mengetahui setiap kelemahan dan kelebihan makhluk yang diciptakannya.

Hari ini, dengan segala kecukupan peralatan dan fizikal yang ada pada lelaki, semakin ramai yang menyalahgunakan kemudahan fizikal yang diberi. Digunakan untuk menjadi penjenayah tegar, tenaga fizikal digunakan untuk merempit dan bergaduh, ‘tunjuk kuat’. Sebahagiannya diguna untuk mendera anak dan isteri dan wanita lain. Minda logika dan kurang emosi yag Allah anugerahkan digunakan untuk justifikasikan segala kelalaian, menghiburkan diri apabila ditimpa kegagalan, padahal tiada usaha secukupnya dilaksanakan.

Akhirnya makin ramai lelaki yang gagal menggalas tugas ketua sebuah keluarga. Mendorongnya untuk terus mendesak isteri mengambil alih sebahagian tugasannya. Dan berterusan rumah menjadi ‘rumahku nerakaku’.

Mungkin dengan sebab itu, kita kini memerlukan Kementerian Pembangunan Lelaki di Negara kita?

Kita sedar, tabiat lelaki tidak suka dinasihati kecuali mereka yang datang meminta, tidak seperti wanita yang lebih mudah menerima nasihat. Justeru, adakah jika kementerian seperti ini diwujudkan, ia boleh mengubah situasi buruk yang melanda?.

SEGERALAH MELAKAR PLAN BERTINDAK ATAU..

Apapun, pemimpin Negara dan semua pihak berkuasa perlukan kaedah dan strategi jelas bagaimana untuk kembali memperkasakan lelaki, bukan dengan sibuk menjual ‘ubat kuat’ dan ‘tahan lasak’ tetapi untuk memperkasakan iman, ilmu, jiwa, minda mereka agar kembali boleh berperanan sebaiknya, tanpa plan bertindak yang jelas dan jitu, krisis lebih buruk akan berlaku dalam negara kita.

Sudah tentulah, pemerkasaan yang pertama adalah mengembalikan mereka kepada fitrah mereka, membawa lelaki kepada agama, kerana semua itu bakal mempengaruhi isteri dan anak-anak mereka.

Apa pandangan anda?

Dipetik dari www.zaharuddin.net