Sabtu, 4 Jun 2011

Kematian dan Persediaan

Kematian dan Persediaan

Entah apa yang terawang-awang dalam fikiran saya ketika itu. Bermacam-macam menerjah ke kepala. Bersimpang-siur, sama seperti keadaan jalan yang bengkang-bengkok itu. Punggung sudah mula rasa tidak sedap duduk.

Berfikir tentang masalah dengan kawan yang belum selesai. Entah mengapa dia menjauhkan diri sejak beberapa hari lalu. Berfikir tentang hutang yang belum dilangsaikan. Andai saya mati dalam perjalanan ini, siapa yang tahu tentang hutang-hutang tersebut dan membayarnya?

Tiba di satu selekoh, saya menekan brek sedikit dan menggerakkan handle motor sedikit ke kanan. Tetapi tiba-tiba motor saya seperti tidak dapat dikawal. Tergelincir keluar daripada laluan jalan. Dan mula masuk jalan tanah merah yang berbecak.

Lantas motor terjatuh dan saya tercampak hampir ke tepi jalan. Saya memandang kawan saya yang tidak sedar saya terjatuh di belakang dan terus memecut laju. Sebuah kereta bergerak laju melintas hampir satu meter di hadapan kepala saya.

Sakit tidak terkata. Saya menggagahkan diri bangun lalu mengangkat motor yang terjatuh dalam becak. Wap-wap panas berterbaran. Tempat pijak brek kaki sudah bengkok ke belakang, cermin tepi motor patah.

Saya sangkakan motor sudah tidak dapat berfungsi, selepas beberapa kali mencuba akhirnya berjaya juga dihidupkan. Dalam keadaan seperti tidak sedarkan diri, saya terus mengejar kawan saya. Dan saya bertemu dengannya yang berhenti di satu selekoh. Pelik mungkin dengan kehilangan saya.

Selepas menghantar motor ke bengkel untuk dibaiki dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ijok, Alhamdulillah perjalanan kami seterusnya selepas itu lancar.

Malam itu, saya berbaring-baring di ruang tamu dan fikiran mula menerawang. Andai kata saya terjatuh di tengah jalan siang tadi, mungkin sudah dilanggar kereta. Dan mati.

Tujuan hidup

"Setiap orang memiliki tujuan, dan tujuan setiap orang yang hidup adalah kematian."

Kematian adalah akhir daripada kegembiraan dan kesedihan, kekayaan dan kemiskinan, kejayaan dalam hidup dan kegagalan mendapatkan sesuatu, dan apa jua yang kita lakukan. Kehidupan kita di dunia jelas ada hadnya, ada akhirnya. Jadi, setiap apa yang kita lakukan mestilah sebagai persediaan untuk kita menghadapi kematian.

Tetapi ayat di atas bukanlah menjadi penghalang untuk kita mengecapi kejayaan. Para sahabat Nabi Muhammad juga adalah orang yang kaya pada zaman mereka. Cuma dalam setiap apa yang kita ingin lakukan dan kecapi, biarlah ia dilakukan dengan harapan ia dapat memberikan persediaan terbaik untuk kita sebelum kita mati.

Bersiaplah untuk mati

Dulu semasa kecil, selalu ustazah menasihatkan buatlah ibadah seolah-olah esok kita akan mati. Tetapi sampai sekarang saya masih tidak dapat melakukannya. Dalam hati masih ada perasaan takut akan mati.

Islam mengajar kita berani menghadapi kematian dan hari kiamat. Islam mengajar supaya kita bersedia menghadapi kedua-duanya. Walaupun ingin jadi kaya, ingin jadi jutawan, ingin jadi doktor, ingin jadi pilot atau apa-apa jua keinginan, bersiap sedialah untuk kematian.

Sesungguhnya kematian ini adalah pasti. Kita cuma hidup entah berapa lama lagi. Entah esok entahkan malam ini sahaja kita akan mati. Kita merancang pelbagai perkara yang entahkan sempat entahkan tidak untuk kita melakukannya.

Jadi, tujuan hidup kita mesti jelas iaitu hidup untuk mati. Maka bersiaplah dengan segala macam persiapan dan persedian yang baik-baik untuk memastikan tujuan hidup itu betul-betul tercapai.

Sudah seminggu lebih peristiwa ini berlaku iaitu dua hari sebelum raya yang lepas tetapi saya masih tidak dapat berjalan seperti biasa lagi. Cuma mampu berpura-pura sihat dan melompat tidak tinggi.

Dipetik dari www.iluvislam.com
oleh: *Azree Hanifiah


*Azree Hanifiah merupakan pemilik blog StudioMuslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan