Khamis, 26 November 2009

Hidupkan Semula Jiwa Korban

Zulhijjah, bulan yang sarat dengan pelbagai peristiwa penting seperti ibadah haji dan hari raya korban, iaitu perayaan terbesar dalam agama Islam yang akan berlalu, dan bakal disusuli Muharram yang akan membuka lembaran baharu bagi kehidupan umat Islam di seluruh dunia. Bagi menghadapi masa hadapan dengan segala cabarannya yang getir, setiap individu Muslim perlu memiliki persediaan yang mencukupi lagi menyeluruh. Dalam hubungan ini, hari raya korban yang baru diraikan dilihat mampu bertindak sebagai landasan terbaik bagi penyediaan kekuatan diri untuk menghadapi segala ujian dan cabaran mendatang. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada sejauh mana hari raya korban yang juga diistilahkan sebagai perayaan ketaqwaan itu disambut, iaitu sama ada secara tidak terpisah daripada semangat atau roh agama Islam, atau sebaliknya.

Malah penting juga dinilai sama ada ibadah korban sebagai salah satu bentuk pengisiannya yang dilaksanakan pada 10 Zulhijjah dan pada hari-hari tashriq itu benar-benar menepati maknanya atau sekadar bentuknya yang zahir sahaja. Apa yang dimaksudkan dengan makna ini ialah ibadah korban dilaksanakan dengan penuh ketaqwaan dan mengharapkan keredaan Allah s.w.t. Inilah yang ditegaskan oleh Allah s.w.t. sebagaimana yang tergambar dalam ayat 37, Surah al-Hajj, bahawa yang dinilai dan diterima oleh-Nya hanyalah ibadah korban yang dilaksanakan dengan penuh ketulusan, iaitu berasaskan ketaqwaan.


Sungguh mendukakacitakan jika ibadah korban yang dilaksanakan tempoh hari hanyalah dari segi bentuknya yang zahir sahaja; iaitu upacara penyembelihan haiwan korban yang disaksikan secara beramai-ramai oleh anggota masyarakat, tanpa disertai usaha untuk menggapai matlamat ibadah yang disyari`atkan pada tahun kedua Hijrah itu. Jika itu yang berlaku, maka kekallah ia menjadi amalan yang kehilangan roh serta maknanya. Kita umumnya dapat menghayati beberapa isyarat penting daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan keluarga baginda sebagaimana yang dirakamkan oleh al-Qur'an. Antaranya termasuklah bahawa Allah s.w.t. sentiasa akan menguji keimanan hamba-hamba-Nya dengan pelbagai bentuk ujian serta dugaan. Malah dalam satu ayat, Allah s.w.t. menegaskan bahawa Dia mentakdirkan mati dan hidup bagi manusia untuk menguji serta menzahirkan siapakah antara mereka yang paling baik amalannya. Dalam hal ini, tiada yang dapat menyelamatkan seseorang hamba kecuali ketaqwaannya yang akan mendorong supaya ia sentiasa berserah dan berharap hanya kepada Allah s.w.t. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. sehingga disebabkan ketaqwaan dan kesabarannya menempuhi segala kesulitan, maka Allah menjadikan baginda sebagai imam (pemimpin) bagi seluruh manusia (Surah al-Baqarah 2 : 124)


Selain itu, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan keluarga baginda itu juga menunjukkan bahawa yang diperlukan untuk dijadikan korban ialah yang terbaik dan sesuatu paling berharga yang dimiliki oleh seseorang insan. Isyarat inilah yang diterjemahkan oleh sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. dalam kehidupan mereka. Sahabat-sahabat ini yang dididik oleh Rasulullah s.a.w. dengan nilai ketaqwaan yang tiada tolok bandingnya membuktikan bahawa semangat suka berkorban tidak asing sama sekali daripada kehidupan mereka. Bahkan selain suka berkorban, mereka juga mempamerkan satu lagi sifat mulia yang mempunyai kaitan yang amat erat dengannya, iaitu ithar (mengutamakan kepentingan orang lain berbanding dengan kepentingan diri). Sifat mulia ini jelas dinyatakan dalam ayat 9, Surah al-Hashr. Kaum Ansar dipuji oleh Allah kerana mereka sanggup mengenepikan keperluan diri dan sebaliknya mengutamakan kepentingan saudara mereka yang memerlukannya, iaitu kaum Muhajirin. Sahabat-sahabat yang terkenal kerana kejayaan mereka dalam bidang perniagaan dan perdagangan seperti Abdul Rahman ibn `Auf r.a., ternyata mengekalkan sifat suka berkorban dan mengutamakan kepentingan masyarakat umum berbanding dengan kepentingan diri, hatta sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w. Sebagai contoh, dalam peristiwa penjualan tanah miliknya dan hasil jualannya yang berjumlah 40,000 dinar itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk keperluan Bani Zahrah (kaum kerabat bonda Rasulullah s.a.w.), kaum Muslimin yang miskin lagi memerlukannya serta isteri-isteri Baginda.


Merujuk kepada hakikat yang menyelubungi umat Islam hari ini, jelas dapat dilihat bahawa semangat korban telah pun luntur dan hampir-hampir lenyap daripada kehidupan mereka. Kisah pengorbanan Nabi-nabi dan sahabat-sahabat hanya sekadar disebut-sebut namun untuk menterjemahkannya dalam kehidupan kelihatan begitu sukar. Kita dapat melihat bagaimana umat Islam, terutama pemimpin-pemimpinnya tidak lagi sanggup mengorbankan diri demi kepentingan agama Islam dan rakyat mereka. Malah sebaliknya, agama Islam dan rakyat dikorbankan demi kepentingan diri, kekuasaan dan pengaruh yang menjadi rebutan antara sesama mereka. Akibatnya, dengan mudahlah juga musuh-musuh umat Islam mengambil kesempatan atas apa yang berlaku dan melakukan penindasan terhadap masyarakat Islam. Lalu saban waktu kita mendengar rakyat di negara-negara Islam menjadi korban akibat perang antara puak dan bangsa selain menjadi pelarian sama ada di negara sendiri mahupun juga di negara-negara luar dan menghadapi kehidupan yang penuh dengan seksa serta derita. Jika kita merujuk pula kepada negara sendiri, keadaan yang ada, tidak jauh bezanya. Meskipun tidak dilanda kemelut sulit dan besar seperti negara-negara Islam lain, umat Islam negara ini juga menghadapi kemerosotan daya juang dan semangat berkorban. Petunjuk paling jelas ialah bagaimana semakin hilangnya nilai mulia dalam kehidupan dan betapa mudahnya masyarakat kita terjebak dengan pelbagai bentuk amalan buruk yang ditegah oleh syarak seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi bukti betapa mereka sanggup mengorbankan kepentingan umum demi kepentingan peribadi.


Lebih menyedihkan jika kita merujuk kepada golongan muda yang telah kehilangan arah dalam kehidupan dan tidak berupaya menghayati semangat korban yang hakiki. Apalah yang boleh diharapkan daripada mereka untuk berkorban diri dan jiwa demi agama dan negara jika jelas sebahagian mereka lebih rela menjadi korban dalam salah laku seperti lumba haram di jalan raya dan penagihan dadah. Keadaan ini seharusnya menyedarkan kita bahawa tiada jalan lain lagi untuk kembali mengubah keadaan yang melanda umat Islam selain memupuk ketaqwaan yang tinggi dan sekali gus dapat menyemarakkan semula jiwa korban. Sesungguhnya kita memiliki segala peluang dan ruang, khususnya melalui ibadah yang difardukan dalam kehidupan kita yang semuanya menjurus kepada melahirkan insan yang bertaqwa dan berkeperibadian tinggi. Ini misalnya melalui ibadah solat, puasa, zakat dan haji, malah termasuklah juga perayaan yang merupakan sebahagian daripada ibadah dalam agama Islam. Sekali lagi, jika kita merujuk kepada hari raya korban, betapa setiap amal dan ibadah yang digalakkan kita supaya dilakukan dalam menyambutnya, termasuklah takbir mempunyai kelebihan dan manfaatnya yang tertentu. Sebagaimana yang diketahui, takbir yang pada asalnya merupakan bacaan dalam perang, memiliki peranan yang amat besar untuk meniupkan semangat juang yang tinggi demi mempertahankan agama Islam serta umatnya selain dapat memupuk keyakinan yang tinggi terhadap pertolongan Allah s.w.t. bagi hamba-hamba-Nya yang berjuang dengan penuh keikhlasan. Kesimpulannya, tiada siapa pun yang boleh diharapkan untuk mengubah keadaan dan kedudukan kita selain diri kita sendiri. Demikianlah pula jika kita menyimpan impian untuk menjadi ummah yang terbilang kekuatan dan kehebatannya sehingga digeruni pihak musuh sebagaimana yang pernah dikecapi pada masa lalu. Maka antara usaha yang perlu digembleng ialah menghidupkan semula daya juang dan mengobarkan kembali semangat korban yang telah pun pudar dengan memanfaatkan segala ruang serta peluang yang terbentang luas di hadapan kita.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan