Rabu, 29 Jun 2011

Isra' Wal Mikraj

ISRA’ WAL-MIKRAJ

Sebelum Isra’ dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan " Isra’ " itu.

Semasa Isra’ ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Isra’) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);


Peristiwa Isra'

1. Orang yang bercucuktanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah.

2. Mencium bau yang wangi iaitu bau tukang sikat Firaun yang beriman kepada Allah.

3. Sekumpulan manusia menghempap kepala masing-masing dengan batu berulangkali. Gambaran orang yang berat melakukan solat fardhu.

4. Kumpulan manusia telanjang memakan rumput berduri, buah zakkum yang sangat pahit dan makan bara api Jahannam. Balasan orang yang tidak suka menderma, bersedekah dan tidak mengeluarkan zakat.

5. Orang yang mengguntingkan lidah tidak berhenti-henti. Balasan orang yang bercakap tetapi tidak mengamalkannya.

6. Sekumpulan manusia makan daging busuk sedangkan ada daging baik, balasan orang yang berzina sedangkan dirinya ada isteri yang sah.

7. Orang yang tenggelam timbul dalam lautan darah dan dilemparkan dengan batu. Balasan orang yang makan riba.

8. Kumpulan manusia mencakar-cakar muka dan dada dengan kuku yang tajam. Balasan orang yang suka mengumpat.

9. Orang yang membawa berkas kayu yang banyak tidak terangkat olehnya. Balasan oarang yang menerima amanah tetapi tidak sanggup melaksanakannya.

10. Seekor lembu keluar dari lubang kecil tetapi tidak dapat masuk semula ke dalam lubang tersebut. Gambaran orang yang suka bercakap besar.



Peristiwa Mi'raj

1. Wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.

2. Wanita tergantung pada rambutnya, otaknya menggelegak dalam periuk. Balasan wanita yang tidak menutup auratnya (rambut)

3. Wanita berkepala seperti babi, badannya seperti kaldai dan menerima berbagai balasan. Wanita yang suka membuat fitnah, bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.

4. Wanita yang mukanya hitam dan memamah isi perutnya sendiri. Balasan wanita yang mengoda dan menghairahkan lelaki.

5. Lelaki dan wanita yang ditarik kemaluannya ke depan dan ke belakang serta dilontar mukanya ke api neraka. Kemudian ditarik dan dipukul hingga keluar api dari badannya. Balasan orang yang membesarkan diri dan takabur kepada orang ramai.

6. Lelaki dan wanita dimasukkan besi pembakar daging dari duburnya, keluar hingga ke mulutnya. Balasan orang yang membuat fitnah, mengejek dan mencaci.

7. Wanita tergantung rambutnya di pohon Zakkum, api neraka membakarnya lalu kering kecut dagingnya terbakar. Balasan wanita yang minum ubat untuk membunuh janin.

8. Wanita dibelenggu dengan api neraka, mulutnya terbuka luas, keluar api dari perutnya. Balasan wanita yang menjadi penyanyi tidak sempat bertaubat.

9. Lelaki dan wanita yang masuk api ke dalam perut dari duburnya lalu keluar dari mulut. Balasan orang yang makan harta anak yatim.

10. Lelaki dan wanita kepalanya terbenam dalam api, dituang pula air
panas ke badannya lalu melecur seluruh tubuhnya. Balasan orang yang berusaha ke arah pergaduhan sesama manusia.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat. (Hadis riwayat Muslim)



Peristiwa Semasa Mikraj

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i.Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii.Langit Ke-2: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii.Langit Ke-3: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

iv.Langit Ke-4: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

v.Langit Ke-5: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi.Langit Ke-6: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii.Langit Ke-7: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu.

viii.Tangga Ke-8: Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix.Tangga Ke-9: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x.Tangga Ke-10: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah alBaqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.



Kesimpulan

Peristiwa Isra’ dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah S.W.T. Allah telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda S.A.W.Diharap peristiwa besar Isra’ dan mikraj ini dapat memberi pengajaran dan ikhtibar yang berguna kepada kita semua,semoga dapat megecapi kebahagian di dunia dan akhirat.Kenanglah pergorbanan dan kasih sayang Rasulullah S.A.W kepada umatnya…

Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa': Ayat 1).

Erti Persahabatan

Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri.. tetapi
dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang
memahami kita.

Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran
seorang sahabat,begitu juga dia.

Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang
harapan dan perasaan kita.

Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya.
Kita tidak memberi dia peluang untuk menerang keadaannya.

Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.Kita
terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti....
kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati.

Kita beri beribu alasan, 'memaksa'dia menerima alasan kita.

Waktu itu, terfikirkah kita tentang perasaannya??? Seperti kita, dia juga
tahu rasa kecewa....tetapi kita sering terlupa.

Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu
kita memerlukan dia.

Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan,
harapan dan impian kita luahkan, dia memberi jalan sebagai laluan
penyelesaian masalah.

Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita hingga
kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama
kita.

Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa
bimbangnya, rasa takutnya?

Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita?

Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya?

Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat
setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah?

Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh
dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah?

Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan?

Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah
masa untuk memahami hati dan perasaan kawan, kerana
dia juga seorang manusia;dia juga ada rasa takut, ada rasa...bimbang,
sedih dan kecewa.

Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan.
Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin
sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka.

Disebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin
diluahkan,disebalik kesenangannya,mungkin tersimpan seribu kekalutan,kita
tidak tahu.......tetapi jika
kita cuba jadi sahabat seperti dia,mungkin kita akan tahu.

Renungilah.......

Selasa, 28 Jun 2011

Minggu ke-6 Praktikum

Tidak terasa masa yang berlalu, dah 6 minggu aku dan kawan-kawan praktikal. berbaki lagi 4 minggu untuk menamatkan praktikal seterusnya menamatkan pengajian diperingkat ijzah sarjana muda di UM ini. Hari yang berlalu pergi tetap pergi, pengalaman yang dilalui juga tidak sama antara satu sama lain. Pada minggu ke-6 ini, PNP berjalan seperti biasa. Cuma satu tajuk sahaja yang aku dapat ajar pada minggu ke-6 ini.

Tajuk yang aku ajar minggu ini adalah Segera Bertaubat. Aku gunakan 2 cara set induksi dengan tajuk ini. Yang pertama adalah mengajak murid-murid beristighfar beramai-ramai dan mengingat kembali dosa-dosa yang telah dilakukan. Yang kedua aku gunakan cara dengan membawa gambar orang kemalangan dan tunjukkan kepada mereka. Selepas menunjukkan gambar, aku akan bertanya kepada anak muridku adakah semua sudah sedia menghadapi maut. Dan sudah pasti mereka menjawab tidak.

Aktiviti kelas aku gunakan cara membuat kerja dalam kumpulan dan membentang di depan kelas. Selain dari itu, aku gunakan cara bersoal jawab untuk mengukuhkan kefahaman mereka tentang apa yang aku ajarkan. Aku juga memberi sedikit hadiah berbentuk gula-gula bagi siapa yang dapat menjawab soalan yang aku berikan.

Bagi subjek arab pula, minggu ini aku ajar tajuk Jumlah Ismiah yang mana jumlah ismiah ini mengandungi 2 perkara utama iaitu Isim dan Mubtada'. Set Induksi yang aku gunakan adalah dengan cara mencantumkan helaian-helaian kertas yang telah dipotong menjadi 2 kalimah. Setelah selesai menggabungkan 2 kalimah itu, mereka akan menampalkan di depan kelas dan seterusnya aku memulakan topik pada hari itu dengan Jumlah Ismiah. Langkah yang kedua, aku memberi lembaran kerja kepada mereka dengan meminta setiap orang membuat latihan. Tugasan mereka adalah membezakan yang mana satu Jumlah Ismiah dan Jumlah Fi'liah. Dan Langkah ke-3 aku minta mereka duduk dalam kumpulan dan bina satu ayat daripada Jumlah Ismiah.

Hari Bicara Akademik

Pada hari jumaat, berlangsungnya Hari Bicara Akademik yang mana pada hari ini akan menemukan IbuBapa murid dengan guru kelas mereka. Aku turut terlibat dalam pada hari kejadian dengan membantu guru kelas memberi komen terhadap anak mereka. Alhamdulillah, ibubapa disini memberi kerjasama yang baik kepada guru-guru sekolah. Hampir kesemua ibubapa hadir untuk mengambil buku rekod anak mereka.

Hari Kantin Sekolah



Lebih meriah lagi pada minggu ini adalah berlangsungnya Hari Kantin. Semua guru bertungkus-lumus sepanjang minggu bagi menjayakan hari kantin ini. pada hari kejadian, 2 artis terkenal Malaysia telah membuat persembahan. Mereka adalah Ana Rafali dan Hazama juara AF9 baru-baru ini. Mereka merupakan bekas pelajar SMART. Pada hari kejadian, Ana Rafali menggunakan pakaian seragam askar wataniah.



Aku pula terlibat dengan perlawanan futsal terbuka bersama kawan-kawan yang lain bagi mewakili guru SMART. Tapi agak sedikit malang, kami menamatkan saingan diperingkat kumpulan sahaja.

Inilah yang berlaku pada minggu ke-6 aku praktikum. Semua ini menjadi pengalaman dan kenangan berharga buatku dan kawan-kawan..wallahua'lam

Selasa, 21 Jun 2011

Khas buatmu Ayah..


Khas buatmu Ayah..

25 tahun dulu, aku telah dilahirkan ke dunia ini. Lahirnya aku sebagai permata pertama buat seorang ayah dan seorang ibu. Tanpa mengenal erti dunia, aku diasuh dan dididik oleh mereka. Kini, 19.6 adalah hari Ayah buat semua yang bergelar ayah, bapa, walid, daddy, papa, dan abi. Semua ni gelaran bagi mereka yang bergelar ketua keluarga dalam sesebuah keluarga. Terdetik untuk aku untuk menulis secebis tinta untuk mereka yang bergelar ayah.

Ayah, jasamu tidak akan dapat aku balas hatta seisi dunia yang aku berikan. Kaulah segalanya bagi kami bergelar seorang anak. Setiap titik peluhmu dalam mencari rezeki begitu bermakna buat kami. Bagi aku sebagai seorang anak, tidak ada yang dapat aku balas jasamau melainkan hanya doa yang aku titipkan setiap kali solat. Aku bangga menjadi anakmu wahai ayah. Lahirnya aku ke dunia ini di sambut dengan penuh rasa kasih sayang. Tapi alangkah sedihnya bagi segelintir orang yang lahirnya sudah tidak punyai ayah. Sebagai contoh yang terdekat dengan kita, Nabi Muhammad S.A.W yang lahirnya Baginda tidak punyai ayah. Abdullah wafat ketika Baginda masih di dalam kandungan lagi. Cuma bezanya dengan kita, Baginda di lahirkan sebagai Kekasih Allah dan lahirnya ke dunia terus di uji dengan tiada seorang ayah. Tapi Baginda seorang yang kuat dan tabah dalam kehidupan.

Ayah, kasih sayang yang kau berikan kepadaku hingga kini aku rasakan. Aku ingat lagi ketika buku bercerita, masa aku berumur 2 tahun ayah banyak belikan aku barang permainan dan suka sangat bila dibelikan barang permainan. Kalau tak dibeli, sudah semestinya aku akan memberontak. Sangat sayangnya ayah kepadaku. Dan kata mak lagi, masa aku kecil dulu, aku suka sangat ikut mereka pergi ke mana sahaja.

Ayah, aku sangat bersyukur kerana masih lagi dikurniakan seorang ayah. Ayah banyak membantuku dalam banyak perkara. Hatta aku dah besar ini pun, banyak benda aku mintak tolong kepadanya. Dia tidak pernah berkata tidak kalau aku inginkan bantuan. Aku bangga punyai seorang ayah yang sangat penyayang. Ayah, terima kasih aku ucapkan. Kini, aku ingin berbakti kepadamu. Akan aku buktikan segala yang ayah berikan selama ini tidak sia-sia.

Ayah, hanya doa dariku sahaja mendekat hati kita. Sekalipun kita selalu berjauhan, tapi dalam solatku, aku tidak pernah lupakan doa kepada ayah dan emak. Dah menjadi doa wajib disetiap sujud terakhir dalam solat untuk ayah dan ibu. Ayah, aku ingin memohon maaf andai selama ini pernah menyakiti hatimu dan pernah menyusahkan ayah. Tidak terniat untuk aku berbuat demikian, mungkin aku ini juga manusia yang idak pernah lari dari melakukan kesilapan.

Ayah, aku sebagai seorang anak yakin, ayah yang berkualiti akan melahirkan anak yang berkualiti dan keluarga yang berkualiti. Seterusnya melahirkan masyarakat yang berkualiti. Sekalipun, kehidupan kita tidaklah semewah orang lain, tapi aku bersyukur hidup dalam keluarga yang sederhana. Ayah banyak mendidiku aku dalam bab mengaji. Nak dijadikan cerita, suatu masa dulu aku dan ayah pernah sama-sama menjadi juara dalam pertandingan tilawah al-Quran peringkat kampung. Ini adalah salah satu kenangan kami bersama. Dan ada banyak lagi kenangan yang aku dan ayah rakamkan.

Selain dari itu, aku masa kecil lagi dah di bawak mengail ikan. Kami sama-sama memancing ikan di sungai. Masa tu, aku sekolah rendah lagi.

Masuk saja darjah 4, aku bersama ayah buka gerai burger ditepi jalan. Alhamdulillah, gerai burger kami mendapat sambutan ramai. Ayah dah didik aku kecil-kecil lagi berdikari. Pernah sekali tu, kami berniaga pada malam hari raya puasa. Demi mencari rezeki, malam raya pun kami jual burger. Antara kenangan lain yang kami bina bersama adalah, masa aku sekolah menengah dulu, setiap hujung minggu ayah akan hantar burger ke sekolah. Dan akulah yang akan tolong jualkan kepada kawan-kawan. Dulu masa sekolah, aku femes dengan gelaran sepul burger. Agak kelakar bila diingatkan balik. Banyak lagi kenangan aku bersama ayah. Ayah adakalnya seorang yang tegas dan adakalanya seorang yang kelakar. Ayah suka mengusik emak, dahlah emak ada sakit asma. Sampai semput mak dibuatnya.

Ayah, sekali lagi aku berterima kasih atas perhatian dari ayah selama ini. Ingin aku ucapkan Selamat Hari Ayah dan semoga ayah diberi kesihatan yang berpanjangan. Dan aku doakan semoga ayah dan emak diberi jodoh sampai ke syurga. Aku sebagai seorang anak, halalkan makan dan minumku. Ampunkanlah dosaku selama ini andai pernah melakukan dosa kepadamu.

Ya Allah yang Maha Pengampun,

Kau ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku,

Sayangi mereka seperti mana mereka mengasihiku sejak dari kecil,

Berikanlah mereka kebahagian dunia dan akhirat,

Permurahkan rezeki mereka,

Berikanlah mereka kesihatan yang berpanjangan,

Dan umur yang panjang,

Tempatkan mereka ini di dalam syurgamu ya Allah,

Lindungilah mereka dari segala balaMU.

akhir sekali, ingin aku ucapkan sekali lagi Selamat Hari Ayah. Terima kasih Ayah…

Minggu ke-5 praktikum

Minggu ke-5 praktikum, kini tibalah masanya berlangsung proses pengajaran di dalam kelas. Saat ini memang aku tunggukan kerana ingin mengetahui sendiri pengalaman mengajar di dalam kelas. Selama ini aku dan kawan-kawan hanya ada sedikit teori dan praktikal hanya di buat di dalam kelas pengajian di Universiti.

Hampir seminggu berlalu, aku hanya masuk kelas pada hari Selasa, Khamis dan Jumaat. Pada hari Selasa yang lepas, aku masuk 2 kelas. Kelas pertengahan dan kelas hujung sekali. Malangnya, 2 kelas ini proses PNP tidak dapat aku laksanakan lagi sebab masih lagi membincangkan kertas peperiksaan yang baru sahaja di berikan kepada mereka.

Seterusnya pada hari Khamis, pengajaran pertamaku dalam bahasa arab. aku cukup bersemangat dan bersedia untuk mengajar untuk kali yang pertama ini. Aku mengaharapkan proses pengajaran akan berlaku ketika ini. Alhamdulillah, aku mendapat respon yang posititif dari anak muridku. Pada mulanya aku bertutur dalam bahasa arab dan perkenalkan diri dalam bahasa arab. melihat pada wajah anak muridku, semua terdiam. Terdiam menandakan mereka tidak memahami apa yang aku tuturkan.

Baru aku mengerti, mereka nak aku bercakap dalam bahasa Melayu dan Alhamdulillah mereka seronok bila aku terjemahkan apa yang aku cakapkan tadi. Pengajaran 1 jam 30 minit tidak terasa berlalu, rasa sekejap sahaja masa itu berlalu. Sebelum menamatkan kelas, seorang anak muridku bertanya, “ustaz, nanti dah habis belajar ustaz teruslah mengajar kami. Ustaz ajar bestla”. Alhamdulillah, pengajaran aku untuk kali pertama mendapat respon yang baik dari muridku.

Kelas aku seterusnya ialah di sebelah petang. Hari ini aku nak ajar tajuk Sedekah. Set induksi yang aku gunakan adalah dengan cara senyum. Aku minta anak muridku senyum sesama mereka dan mereka tertanya-tanya kenapa aku minta mereka senyum sesama mereka. Alhamdulillah, pengajaran hari ni dapat dijalankan dengan baik.

Ahad, 19 Jun 2011

Pendakian di Broga Hill Bersama Warga SMART

Broga Hill, akhirnya telah ku tawan juga. Bersama 39 orang guru SMK Taman Keramat dan 39 pelajar, kami bersama-sama mendaki bukit Broga pada hari Sabtu yg lepas. Sebelum mendaki, kami semua berkumpul di sekolah dan bermalam di sana. Pada jam 9.30 malam, majlis dimulakan dengan bacaan Yasin yang diketuai oleh ustaz Hazmi. Bacaan Yasin ini bertujuan untuk memohon perlindungan dari sesuatu yang tidak baik berlaku semasa mendaki nanti. Selesai majlis bacaan yasin, majlis diteruskan dengan taklimat oleh Sir khairul yang mana beliau mengingatkan kepada semua pelajar agar lebih mengutamakan keselamatan diri dan kawan-kawan. Seterusnya di sambung oleh guru Asma yang mana beliau berpengalaman luas dalam aktiviti mendaki. Beliau lebih banyak berkongsi pengalaman beliau semasa mendaki beberapa gunung di Malaysia. Antara pengalaman yang beliau ceritakan adalah pernah mendaki selama 7 hari untuk menawan puncak gunung. Dan beliau mengajak kami untuk bersama-sama beliau selepas ini kerana ada lagi aktiviti mendaki gunung yang akan disertai beliau.

Tepat jam 11 malam, kami disediakan makan malam. Dan selepas itu, semua pelajar dikehendaki untuk tido kerasa esok paginya kami akan bergerak ke Broga Hill jam 4.30 pagi. Suasana pagi yang cukup baik ini, melancarkan perjalanan kami ke sana. Kami berhenti rehat dan menunaikan solat subuh secara berjemaah di surau stesen minyak yang berhampiran. Alhamdulillah tepat jam 6.30 pagi kami sampai di Broga Hill. Sebelum mendaki, aku diminta oleh pihak sekolah untuk membacakan doa.


Perjalanan kami terus bermula, aku dapati telah ramai yang datang lebih awal untuk mendaki. Cabaran mendaki tidaklah begitu sukar, mungkin kurangnya stamina menyebabkan aku terasa sedikit kepenatan. Lebih kurang jam 7.15 pagi, aku dan beberapa pelajar lain sampai ke puncak yang pertama. Kami berehat sebentar di sini sambil menikmati alam yang cukup indah. Pemandangan sawah padi, pokok kelapa sawit dan sebagainya. Subhanallah, cantiknya ciptaan tuhan. Dia yang Maha Kaya lagi Maha Pemurah.

Setibanya di puncak yang pertama, kami masing-masing mengambil kedudukan untuk ambil gambar. Aku dan beberapa yang lain mengambil masa sekejap untuk berehat . Selepas itu, aku meneruskan pendakian ke puncak yang kedua. Dalam masa 10 minit, kami dah sampai ke sana. Apa lagi, seperti biasa kami akan mengambil gambar masing-masing. Pemandangan yang cukup indah terbentang luas di depan mataku. Sungguh cantik dan indah ciptaan Allah ini. Kataku di dalam hati.

Untuk menuju kepuncak tertinggi, jalan yang dilalui sedikit sukar. Aku dan yang lain mengambil keputusan untuk naik juga ke atas. Dah alang-alang kami ke sana, apa salahnya untuk terus ke puncak tertinggi. Alhamdulillah aku dan yang lain sampai juga. Seperti biasa, peluang ini kami ambil untuk berehat sebentar dan mengambil gambar. Di sana, kami membentang satu banner yang di siap khas untuk pendakian SMK Taman Keramat.

Setelah hampir 30 minit berada di puncak, kami pun turun. Perjalanan turun lebih mencabar sedikit. Dengan permukaan tanah yang licin menyebabkan ada yang tergelincir dan menggelongsor turun ke bawah. Alhamdulillah, setelah hampir 1 jam, perjalanan turun dari bukit Broga selamat semuanya. Semua menunjukkan wajah-wajah kegembiraan setelah dapat mendaki bukit hingga ke puncak.

Kami terus bergerak ke SMK Dusun Nanding untuk lawatan muhibbah. Setibanya kami di sana, kami di sambut dengan penuh kemesraan oleh pihak sekolah. Kami terus berkumpul di kantin sekolah untuk sesi taklimat dari pihak sekolah. Kami dimaklumkan oleh penolong kanan 1 sekolah dengan beberapa kejayaan-kejayaan yang sekolah perolehi selama 9 tahun sekolah itu di tubuhkan. Antaranya mendapat tempat ke-3 terbaik kokurikulum peringkat kebangsaan, johan peringkat negeri Selangor untuk sambutan Maulidurrasul peringkat negeri dan sebagainya.

Selepas selesai sesi taklimat, kami dijemput untuk makan tengahari. Kami disajikan dengan nasi ayam dan air bandung. Selepas itu, kami diajak untuk lawan futsal dengan pihak sekolah. Walaupun keadaan kami agak kepenatan, tapi atas semangat muhibbah yang ada kami meneruskan aktiviti pada hari itu dengan perlawanan persahabatan futsal dan bola jarring. Aku turut serta dalam perlawanan tersebut. Pada mulanya, perlawanan agak sengit, kami menjaringkan gol yang pertama dan disambut riang oleh warga SMART. Selepas itu, kami dibolosi sebanyak 4 kali oleh guru-guru Dusun Nanding. Sekalipun tewas, kami tetap berpuas hati, mungkin kerana terlalu penat kami tidak dapat menyaingi kehebatan mereka. Apa-apapun perlawanan seperti ini merapatkan lagi ukhwah sesama kami.


Seterusnya aku di ajak oleh guru sekolah untuk bermain sepak takraw. Kali ini, kami lawan pelajar sekolah. Akhirnya, kami dapat menewaskan mereka dengan perbezaan 2 mata sahaja. Selepas selesai semuanya, kami bergerak balik ke sekolah semula. Dalam perjalanan balik, aku mengambil masa yang ada untuk tido sekejap. Setibanya di sekolah, aku dan Hirman terus bergerak balik ke rumah sewa kami.

Alhamdulillah, program yang diaturkan memberi pengalaman yang manis untuk ditinggalkan. Sekolah ini memang aktif dengan program-program mereka. Banyak perkara yang aku boleh pelajari untuk aku jadikan contoh semasa aku menjadi guru nanti. Setakat ini sahaja perkongsian Qissahku.=)